Juadah raya yang Wajib anda cuba tahun 2025
Hari raya sangat sinonim dengan juadah yang sangat menyelerakan. Lebih-lebih lagi untuk juadah pembukaan hari raya pertama. Bukan juadah semata-mata tapi cara penyediaannya yang sangat menggamit kenangan kerana untuk masak juadah raya ini, hampir semua keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk masak juadah raya bersama-sama. Kalau di negeri Johor mereka panggil ‘rewang’ (iaitu masak secara bersama-sama dalam kelompok yang ramai) manakala di negeri Kelantan pula mereka panggil ‘bekwoh’ (iaitu maksud yang sama seperti rewang tadi).
Untuk juadah raya ini, setiap keluarga pasti ada cara tersendiri dalam proses penyediaan dan juga resepi. Ada segelintir keluarga yang akan masak juadah raya yang sangat awam iaitu ada ketupat dan juga rendang. Ada juga segelintir keluarga yang akan masak juadah raya ikut makanan tradisi negeri masing-masing. Contohya, negeri Terengganu akan menyajikan juadah nasi dagang dengan gulai ikan untuk dimakan bersama keluarga.
Untuk penulisan kali ini, kami di Cutiecle akan bagi anda senarai menu untuk juadah raya kombo yang wajib anda cuba untuk tahun 2025 ini. Ini kerana, juadah raya kombo yang kami cadangkan ini mempunyai citarasa yang unik serta sangat releven untuk dicuba. Lebih-lebih lagi juadah raya dari negeri yang berbeza dengan negeri kelahiran kita sendiri. Kalau ikutkan, banyak lagi juadah yang boleh dicuba. Tapi, ini adalah sedikit sebanyak menu yang Cutiecle suka dan anda boleh cuba untuk raya nanti.
(1) Ketupat palas dengan rendang daging
Ketupat palas merupakan makanan yang sangat mudah untuk disiapkan. Ia sangat popular di negeri belah utara. Ketupat palas mempunyai bahan yang sangat ringkas untuk dibuat iaitu daun palas, beras pulut, santan dan juga secubit garam. Generasi kini terdapat alternatif lain iaitu ketupat palas sejuk beku yang memudahkan perantauan untuk turut sama makan ketupat palas jika jauh daripada kampung. Kebiasaannya, ketupat palas akan dimakan bersama dengan rendang daging. Ada juga yang makan bersama serunding daging. Ikut kepada citarasa masing-masing.
(2) Nasi Tomato dengan ayam masak merah
Nasi tomato dan ayam masak merah merupakan antara makanan yang mudah dan sangat menjadi kegemaran untuk makan ketika waktu raya. Walaupun ada segelintir yang kata nasi tomato juga rumit seperti menyediakan nasi minyak atau nasi lemak, sebenarnya ia tidaklah rumit kerana bahan yang diperlukan juga sangat ringkas. Ia dikatakan rumit kerana ada pendapat yang menggunakan tomato puri sebagai bahan utama dan ada juga pendapat menggunakan tomato segar untuk rasa yang lebih sedap. Bukan itu sahaja, rempah ratus yang digunakan juga perlulah selari demi mendapatkan aroma serta rasa yang seimbang.
(3) Nasi serai dengan dendeng daging
Nasi serai merupakan nasi yang ditumis wangi dan mempunyai perasa yang penuh dengan aroma serai dan juga bahan rempah ratus. Dendeng daging yang menjadi lauk sampingan itu yang membuatkan ia nampak lebih menarik kerana rasa yang pedas, manis, masin dan semuanya cukup dalam satu juadah. Dendeng daging pula satu juadah yang sangat mudah dimasak iaitu seperti daging masak kicap tetapi mempunyai banyak rempah ratus lain didalamnya. Daging yang direbus, ditumbuk nipis dan digoreng garing ini dimasak dengan rempah yang telah ditumis harum. Sedap dimakan bersama keluarga.
(4) Lontong dengan kuah sayur lodeh
Lontong merupakan nasi yang dimasak sama seperti nasi impit. Dengan aroma daun pandan yang harum, lontong biasanya dimakan dengan pelbagai juadah lain sebagai pengganti kepada nasi putih. Sayur lodeh pula sejenis makanan yang terdiri daripada pelbagai jenis sayur dan juga bahan kekacang seperti tauhu, tempe dan juga fucuk. Kuahnya pula kebiasaannya berwarna kuning ataupun putih, mengikut kepada siapa yang memasaknya.
(5) Nasi impit dengan rendang ayam maman
Nasi impit sudah biasa didengar, tetapi rendang maman ini sangat jarang didengar kerana juadah ini sangat popular dalam kalangan orang Negeri Sembilan. Rendang ayam maman ini sangat unik kerana rendangnya berwarna hijau dan juga mempunyai sayur yang diberi nama maman. Maman ini sangat pahit jika pertama kali makan, tetapi sangat sedap apabila makan bersama nasi dan juga juadah lain.
(6) Nasi dagang dengan gulai ikan (juadah negeri Terengganu)
Nasi dagang merupakan satu juadah yang berasal daripada negeri Terengganu dan agak rumit untuk membuatnya jika baru pertama kali. Proses untuk membuat nasi dagang memakan masa yang panjang untuk menghasilkan nasi yang sedap dan berlemak. Ia perlu dikukus, digaul dengan santan dan perlu ditanak dengan baik bagi memastikan nasi dimasak dengan rata. Gulai ikan pula juadah sampingan nasi dagang yang dimakan bersama dengan acar sayur. Rupa gulai ikan sama seperti ikan masak kari dan berbau harum.
(7) Lemang dengan serunding daging
Lemang merupakan simbolik kepada hari raya selain daripada ketupat. Pembuatan lemang ini sangat rumit kerana perlu menyediakan bahan dan proses penyediaannya memerlukan kesabaran yang tinggi. Buluh untuk bekas mengisi bahan lemang perlulah buluh yang baik serta daun pisang yang digunakan juga perlulah yang muda dan hijau. Bahan untuk membuat lemang amat ringkas, iaitu beras pulut, santan kelapa dan garam secukup rasa. Proses memasak lemang bergantung kepada api dan juga arang yang digunakan. Untuk serunding daging juga amat rumit nak buat. Daging yang digaul bersama dengan rempah ratus perlu dimasak dengan api yang perlahan dan lama demi mendapatkan bentuk yang cantik. Tapi, rasanya amat sedap.
(8) Sambal goreng jawa
Sambal goreng jawa merupakan makanan tradisi orang Jawa dengan mencampurkan pelbagai jenis sayuran dan bahan kekacang seperti tempe, tauhu dan juga fucuk. Untuk sambal goreng Jawa yang mengikut resepi orang Jawa pasti akan letak sedikit santan di dalam sambal goreng tersebut. Akan tetapi, kebiasaannya sambal goreng yang biasa dibuat oleh orang zaman sekarang pasti akan elak untuk letak santan dan ganti dengan kicap mahupun sos cili.
(9) Ketupat sotong (juadah negeri Kelantan)
Ketupat sotong merupakan makanan yang popular di negeri Kelantan. Cara pembuatannya yang mudah dengan bahan yang ringkas amat memudahkan sesiapa sahaja yang mahu mencuba untuk buat resepi tersebut. Hanya dengan menggunakan bahan yang mudah seperti sotong segar, beras pulut, gula melaka dan juga santan. Makanan ini juga sebenarnya sukar untuk mendapat tempat di hati orang selain daripada orang Kelantan. Kerana rasanya yang manis dan berlemak.
(10) Burasak dengan gulai daging
Burasak merupakan makanan tradisi bagi orang Jawa dan sangat mudah untuk dibuat. Dengan menggunakan bahan yang ringkas seperti daun pisang, beras dan juga santan, makanan ini selalu dibuat oleh orang-orang lama sahaja. Hanya mereka yang masih menjaga tradisi untuk penyediaan burasak ini.
SELEBRITI MEDIA SOSIAL YANG POPULAR KETIKA BULAN RAMADAN
Sepanjang bulan Ramadan ini terdapat banyak golongan pempengaruh media sosial dan juga selebriti dalam talian di media sosial yang berkongsi resepi masakan buat semua pengikut. Setiap resepi yang dikongsi itu juga sangat detail untuk sesiapa yang tidak pandai masak atau cuba nak masak resepi tersebut amat mudah. Ini adalah cadangan daripada Cutiecle iaitu 4 orang selebriti dan juga pempengaruh yang biasa berkongsi resepi di media sosial untuk semua pengikutnya. Kalau video masakan mereka lalu, pasti korang akan terliur.
1. Khairul Aming (Pempengaruh Media Sosial)
Khairul Aming merupakan selebriti media sosial yang sangat popular sewaktu bulan Ramadan kerana beliau sering buat video berkaitan dengan 30 hari 30 resepi untuk pengisian bulan puasa. Rata-rata video masakan yang dikongsikan itu pasti mendapat sambutan pengikutnya dan ramai juga yang mencuba resepi yang beliau kongsi itu.
2. Che Sayang Kitchen (Pempengaruh Media Sosial)
Che Sayang Kitchen juga sama seperti Khairul Aming yang popular dengan video masakan serta resepi sepanjang bulan puasa. Akan tetapi, beliau sering berkongsi resepi tidak kira bulan penting. Beliau sering berkongsi resepi mudah dan ringkas untuk semua pengikutnya di media sosial.
3. Che Nom (Cikgu Masakan)
Che Nom merupakan satu nama yang tidak asing lagi. Beliau sangat popular di Youtube dan bermula sebelum Khairul Aming dan Che Sayang Kitchen lagi. Kesemua resepi dan tips masakan yang beliau kongsikan amat mudah untuk pemula yang ingin belajar memasak. Sampai sekarang beliau masih aktif dengan berkongsi resepi masakan di semua platform media sosial.
4. Sheila Rusli (Selebriti)
Nama Sheila Rusli juga bukan satu nama yang asing lagi dalam dunia masak-masak ini. Dahulu, beliau mempunyai rancangan masakan yang sangat popular ketika bulan Ramadan iaitu rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan yang bersiaran di rtm selama sebulan berpuasa. Selain daripada berkongsi resepi masakan, beliau juga akan menjemput beberapa orang artis lain untuk turut sama masak di dalam rancangan beliau. Pada waktu sekarang beliau hanya aktif berkongsi resepi melalui media sosial sahaja sejak rancangan tersebut secara rasminya sudah tidak dijalankan lagi.
Anda perlu cuba salah satu juadah yang kami cadangkan. Kalau dah rasa semua juadah tersebut, anda memang terbaik! Jangan lupa untuk berkongsi gambar atau video berkaitan dengan juadah raya korang dengan Cutiecle di pagi raya nanti. Boleh juga tag kami di semua platform media sosial untuk kami repost dan berkongsi segala kegembiraan anda bersama-sama.
Yang terbaik hanya ada di Cutiecle, pakar kuku anda!